BUENOS AIRES: Ribuan rakyat Argentina berarak pada Rabu sebagai tanda protes kepada peningkatan kadar inflasi di negara ini.

Ia selepas kerajaan negara itu mengumumkan bahawa kadar inflasi pada Mac adalah 6.7 peratus, tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Peserta demonstrasi yang kebanyakannya adalah golongan tidak bekerja dan menerima pelbagai bantuan sosial, menuntut supaya lebih banyak peluang kerja dan bantuan disalurkan.

Ribuan rakyat Argentina berarak pada Rabu sebagai tanda protes kepada peningkatan kadar inflasi di negara itu. - AP

Bagi ibu tunggal beranak tiga, Mallumi Carrazco, 27, dia berharap protes yang dilakukan hari ini akan memberi tekanan yang mampu mengubah hidupnya dan keluarga.

Dia mengakui menerima bantuan daripada 'Alimentar', sebuah program bantuan makanan berjumlah 18,000 pesos (AS$180), tetapi ia tidak mampu bertahan sepanjang bulan.

"Apabila saya ke pasar, saya hanya bawa balik dadih dan bijiran, saya tidak mampu membeli mi atau beras.

"Saya kini berusaha untuk mendapatkan kerja. Tapi situasi tidak mengizin bagi saya.

"Kini saya sertai program bantuan makanan di mana kami masak dan mereka beri makanan, tapi sekarang program bantuan makanan itu juga tidak lagi menerima bantuan dari kerajaan.

"Jadi kami ke sini untuk dapatkan makanan anak-anak," katanya.

Kadar minimum sara diri bagi empat orang sekeluarga adalah sekitar 33,000 pesos atau AS$330.

Dengan kadar terbaharu yang diumumkan pada Mac, Argentina kekal di dalam senarai negara yang merekodkan kadar inflasi tertinggi di dunia.