Lelaki dari pelbagai lapisan usia kini dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. Pemansuhan larangan itu adalah yang pertama selepas berbulan-bulan, kata jurucakap polis.

“Tiada lagi had umur untuk memasuki kawasan tersebut. Kami berharap keadaan akan jadi lebih tenang hari ini,” kata jurucakap Mickey Rosenfeld kepada AFP.

Tambahnya, bilangan anggota polis ditambah di Baitulmaqdis pagi ini untuk memastikan tiada insiden yang tidak diingini berlaku di sekitar kota usang tersebut.

Rosenfeld mengaitkan keputusan tersebut dengan sesi rundingan di Jordan semalam selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) memberitahu bahawa langkah-langkah berkenaan dipersetujui antara Raja Abdullah II dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Persetujuan itu bertujuan mengurangkan ketegangan di sekitar pekarangan masjid.

Komitmen tegas telah dibuat demi memastikan status quo di kawasan tersebut yang dianggap suci bagi kedua-dua bangsa Yahudi dan umat Islam.

Israel dan Jordan yang berkongsi hak penjagaan kawasan tersebut juga telah bersetuju untuk mencari jalan bagi meredakan situasi di Baitulmaqdis seterusnya mengembalikan keyakinan orang ramai.

“Kami tidak akan mendedahkan setiap langkah praktikal yang diambil. Perkara yang lebih utama adalah ia dilakukan dengan senyap dan berkesan.

“Adalah jelas di sini bahawa mereka bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan ketegangan sekali gus memastikan status quo itu ditegakkan,” ujar Kerry.

Rakyat Palestin selama ini begitu marah dengan kempen pihak Israel yang mahu menjalankan upacara sembahyang Yahudi di kawasan Masjid Al-Aqsa.

Netanyahu pula berulang kali menegaskan bahawa pemerintah Israel tidak merancang untuk mengubah status quo yang membenarkan orang Yahudi berkunjung ke tempat berkenaan dan bukan untuk bersembahyang.