Istana Shuri, salah sebuah lokasi tumpuan pelancong di Selatan Pulau Okinawa musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran.

Jurucakap polis Okinawa, Ryo Kochi berkata penduduk yang tinggal berdekatan diarah berpindah ke kawasan lebih selamat.

Rakaman televisyen menunjukkan pasukan bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di kompleks bertingkat itu selepas menerima panggilan jam 2.47 pagi Khamis.

Lebih 30 jentera dan 100 anggota bomba dikerah dalam usaha memadamkan kebakaran.

Istana tapak warisan dunia itu dibina lebih 500 tahun lalu ketika pemerintahan Ryukyu.

Sebahagian besar istana itu dibaik pulih pada tahun 1992 sebagai taman negara.

Ia kemudian diiktiraf sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada tahun 2000.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat kebakaran tersebut.