LONDON: Hari pertabalan Raja Charles III akan diadakan pada 6 Mei 2023.

Perincian mengenai tarikh bersejarah itu dimaklumkan oleh Istana Buckingham dalam kenyataan pada hari ini.

Sambutan bagi pertabalan itu akan berlangsung selama tiga hari, bermula Sabtu dan berakhir pada Isnin (8 Mei 2023) di seluruh negara.

Acara sambutan turut merangkumi istiadat makan tengah hari dan konsert pada 7 Mei (Ahad) dan diikuti cuti umum di seluruh negara pada 8 Mei 2023.

"Istiadat itu akan dilakukan dengan penuh kesucian mengikut upacara keagamaan dan akan disempurnakan oleh Uskup Agung Canterbury, Justin Welby," kata pihak istana.

Jelasnya, istiadat itu akan mencerminkan peranan monarki dan visi masa hadapannya berlandaskan tradisi diraja yang telah dipraktikkan sejak sekian lama. 

Sementara itu, Setiausaha Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan United Kingdom, Michelle Donelan mengalu-alukan penglibatan rakyat negara itu dalam memeriahkan sambutan.

"Semua dijemput hadir bagi menyaksikan hari bersejarah ini.

"Sama ada dengan mengadakan sambutan sendiri, atau menyaksikan istiadat pertabalan di kaca televisyen," katanya.

Beliau dalam masa amat menggalakkan penglibatan rakyat untuk turut sama dalam inisiatif sukarelawan 'The Big Help Out' bagi menjayakan hari bersejarah itu.

Pemerhati institusi diraja menjangkakan istiadat pertabalan Raja Charles III lebih singkat dan berlainan daripada pertabalan mendiang Ratu Elizabeth II tujuh dekad lalu, dengan beberapa perubahan ritual tradisinya.

Pertabalan Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah UK adalah merupakan istiadat diraja yang pertama disiarkan menerusi siaran televisyen dan berlangsung selama tiga jam.