ROM: Kerajaan Itali pada Jumaat melancarkan pakej 9.1 bilion Euro (AS$9.4 bilion) bagi membantu perniagaan dan keluarga yang bergelut menangani kos tenaga yang melambung tinggi.

Mengumumkan rancangan itu, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata pakej itu akan menyediakan "tindak balas segera" terhadap keperluan ekoran bil tenaga yang lebih tinggi, lapor Xinhua.

Bedasarkan data sementara Institut Perangkaan Kebangsaan Itali (ISTAT), kos tenaga di negara itu pada Oktober adalah 73.2 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Harga tenaga global mula meningkat pada Februari, selepas bermulanya konflik antara Rusia dan Ukraine. Sejak itu Rusia telah mengurangkan sebahagian besar bekalan gas aslinya kepada negara anggota Kesatuan Eropah, termasuk Itali.

Itali amat terdedah kepada perubahan harga tenaga, kerana ia bergantung kepada import tenaga bagi tiga perempat daripada jumlah penggunaan tenaganya. Sebelum krisis di Ukraine, Rusia merupakan pembekal tenaga tunggal terbesar Itali, menyumbang 40 peratus daripada jumlah gas asli yang digunakannya. Angka itu kini turun kepada 15 peratus, dan semakin berkurangan.

Itali pada masa ini hanya mengeluarkan 5 peratus daripada keperluan gas aslinya di dalam negara.

Pakej bantuan terbaharu yang merupakan perundangan utama pertama kerajaan baharu Meloni, mengikuti siri pakej bantuan serupa yang diluluskan oleh kerajaan Mario Draghi. Menurut laporan media, pakej Draghi berjumlah sekitar 66 bilion Euro.

Dalam ucapannya kepada pemberita, Meloni berkata dekri baharu itu "melanjutkan langkah sedia ada ... dan menambah langkah baharu".

Pakej itu termasuk kredit cukai terhadap perbelanjaan tenaga untuk perniagaan dalam industri intensif tenaga, mengurangkan cukai ke atas pengagihan bahan api, satu langkah yang dijangka menurunkan harga di pam petrol sekitar 0.3 euro seliter. Terma itu akan terus berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun ini, kata Meloni.

Langkah baharu ini akan membolehkan perniagaan membahagikan bil tenaga mereka kepada sebanyak 36 ansuran, dan syarikat tenaga akan dilindungi daripada kemungkinan lalai melalui jaminan kerajaan. Langkah terdahulu yang membenarkan GSE, syarikat perkhidmatan tenaga negeri, menjual gas asli dengan had harga maksimum akan dilanjutkan hingga 31 Mac 2023.

Meloni juga memberikan butiran lanjut tentang rancangan untuk membenarkan penggerudian luar pesisir dalam medan gas dalam tempoh sepuluh tahun akan datang, menawarkan kebanyakan gas asli yang dihasilkan kepada syarikat dalam sektor intensif tenaga seperti pengeluar kaca, seramik, kertas, besi dan keluli pada had harga terhad.

Sebelum krisis Ukraine cadangan itu dibantah oleh kumpulan alam sekitar ekoran kebimbangan impak pengerudian luar pesisir akan menjejakan garisan pantai Itali. (1 euro = AS$1.04)

-- BERNAMA