KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyambut baik keputusan kabinet hari ini yang mempersetujui dua syor PAC berhubung projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS), namun menyarankan supaya laporan pengauditan forensik projek itu dinyahklasifikasikan sepenuhnya.

Pengerusinya Wong Kah Woh dalam satu kenyataan hari ini berharap usaha tersebut dilakukan sepenuhnya dan tiada maklumat dihitamkan seperti yang berlaku dalam Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

“PAC ingin mengingatkan kerajaan dan menegaskan keputusan untuk menyahklasifikan laporan berkenaan perlu dilakukan sepenuhnya, bukan seperti yang berlaku terhadap Laporan  JKSTUPKK berkaitan projek AES yang mana banyak maklumat telah dihitamkan dengan alasan menjaga kepentingan kerajaan,” kata Kah Woh.

Terdahulu, PAC mendapati penyumberluaran projek ASES kepada syarikat-syarikat swasta bagi penguatkuasaan trafik adalah tidak wajar dan projek tersebut sepatutnya dilakukan oleh JPJ sendiri.

Pada Ogos lalu, Kah Woh berkata, jawatankuasa itu kesal kerana laporan berkaitan AES diletakkan sebagai ‘Rahsia Besar’ dan tidak dinyahklasifikasikan sepenuhnya, dengan beberapa maklumat dan nama dalam laporan itu telah dihitamkan.

Beliau bagaimanapun menyifatkan keputusan Kabinet berhubung laporan LCS sebagai bukti bahawa cabang legislatif mampu memainkan fungsinya untuk semak dan imbang terhadap cabang eksekutif dalam suatu sistem demokrasi Parlimen yang sihat.

“Keputusan kabinet ini yang proaktif terhadap syor yang dikemukakan PAC membuktikan pentingnya usaha yang dilakukan jawatankuasa ini bagi memastikan segala tatacara dan perolehan kewangan kerajaan dipatuhi demi kepentingan rakyat dan negara,” ujarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan bahawa jemaah menteri bersetuju supaya laporan pengauditan forensik projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.

Bagaimanapun, katanya, proses itu perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.