KUALA LUMPUR: Risiko kematian, kemasukan ke hospital dan isu kesihatan serius akibat COVID-19 melonjak dengan ketara melalui jangkitan semula berbanding jangkitan pertama virus itu, tanpa mengira status vaksinasi.

Perkara itu disahkan melalui satu kajian yang diterbitkan, pada Khamis.

Menurut Ketua Kajian, Dr. Ziyad Al-Aly dari Sekolah Perubatan Universiti Washington di St. Louis, jangkitan semula dengan COVID-19 meningkatkan risiko akut dan 'Long-COVID'.

Jelasnya, ini terbukti sama ada kepada individu yang tidak divaksin, sudah divaksin dan yang telah mendapat booster (dos penggalak).

Penemuan itu diambil daripada data Jabatan Hal Ehwal Veteran (VA) Amerika Syarikat (A.S) yang dikumpul dari 1 Mac 2020 hingga 6 April 2022.

Ia dijalankan ke atas 443,588 pesakit dengan sekali jangkitan COVID-19, 40,947 dengan dua atau lebih jangkitan, dan 5.3 juta individu tidak dijangkiti.

Kebanyakan subjek kajian adalah lelaki.

Pesakit yang dijangkiti semula mempunyai lebih dua kali ganda risiko kematian dan lebih tiga kali ganda risiko kemasukan ke hospital berbanding mereka yang dijangkiti COVID hanya sekali.

Menurut laporan yang diterbitkan dalam Nature Medicine, mereka juga mempunyai risiko yang tinggi untuk masalah dengan paru-paru, jantung, darah, buah pinggang, diabetes, kesihatan mental, tulang dan otot serta gangguan saraf.

"Walaupun seseorang mempunyai jangkitan terdahulu dan telah divaksinasi (bermakna mereka mempunyai imuniti berganda daripada jangkitan terdahulu serta vaksin) mereka masih terdedah kepada kesan buruk apabila dijangkiti semula," kata Al-Aly.

Individu dalam kajian yang mengalami jangkitan berulang adalah lebih daripada tiga kali berkemungkinan untuk mengalami masalah paru-paru, tiga kali lebih berkemungkinan mengalami masalah jantung dan 60 peratus lebih berkemungkinan mengalami gangguan saraf berbanding pesakit yang pernah dijangkiti hanya sekali.

Penyelidik mendapati, risiko yang lebih tinggi paling ketara pada bulan pertama selepas jangkitan semula tetapi masih mempunyai kesan enam bulan kemudian

Bagaimanapun seorang penyelidik yang tidak terlibat dengan kajian, Pakar Mikrobiologi dan Imunologi Kolej Perubatan Weill Cornell New York, Prof. Dr. John Moore berkata, populasi Jabatan Hal Ehwal Veteran itu tidak mencerminkan populasi umum.

Jelasnya, pesakit di kemudahan kesihatan Jabatan Hal Ehwal Veteran biasanya lebih tua, banyak penyakit dan kebiasaannya lelaki, kumpulan yang biasanya mempunyai komplikasi kesihatan lebih daripada biasa.

Sementara itu, para penyelidik berkata, risiko kumulatif dan beban jangkitan berulang meningkat dengan bilangan jangkitan, walaupun selepas mengambil kira perbezaan dalam varian COVID-19 seperti Delta, Omicron dan BA.5.

Walau bagaimanapun, pakar epidemiologi penyakit berjangkit dan editor Kaiser Health News, Dr. Celine Gounder berkata, seolah-olah terdapat "kesan plateu dengan pelbagai jangkitan," dengan kurang lonjakan risiko selepas jangkitan kedua.

"Berita baik di sana adalah individu yang lebih sihat dilindungi dengan imuniti, kemungkinan risiko mengalami beberapa komplikasi akan menjadi lebih rendah dari masa ke masa," tambahnya.

Namun, Al-Aly memberi amaran bahawa orang ramai perlu berwaspada.

"Pesakit tertanya-tanya, 'Adakah jangkitan semula benar-benar perkara penting?' Jawapannya adalah ya, ia benar-benar berlaku."

Menjelang musim cuti yang semakin hampir dengan perjalanan dan perhimpunan tertutup, "orang ramai harus sedar bahawa jangkitan semula adalah perkara penting dan harus mengambil langkah berjaga-jaga," tambahnya.