SEORANG wanita di Bolivia mendakwa menemui jari manusia dalam burger yang dipesan di sebuah restoran makanan segera, minggu lalu.

Dalam entri yang dimuat naik di Facebook, Estefany Benitez memaklumkan sedang menikmati makanan di Hot Burger, sebuah restoran makanan segera popular sebelum mendapati ada jari manusia terselit dalam lapisan daging dan sayuran burger itu.

Dalam salah satu video, Benitez dilihat membuat aduan tentang penemuan itu kepada seorang pekerja, yang menjawab: "Tolong beritahu saya apa yang anda mahukan, ini tidak pernah berlaku sebelum ini."

Walaupun pekerja itu didakwa berjanji akan menutup restoan, Benitez berkata mereka terus beroperasi seolah-olah tidak ada yang berlaku.

Entri Benitez itu tular dan menarik perhatian bukan sahaja pegawai atasan dalam pengurusan restoran tetapi juga pentadbiran kerajaan.

Seorang jurucakap restoran menegaskan ia "kejadian yang tidak diingini" dalam satu kenyataan pada Jumaat, dan mengesahkan jari itu milik salah seorang pekerja yang mengalami kecederaan semasa proses penyediaan makanan.

Kerajaan telah mengarahkan restoran itu ditutup buat sementara waktu, selain turut mengenakan denda.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada Benitez akan mengambil tindakan undang-undang atau tidak.