Jawab soalan mengenai Perdana Menteri Malaysia, lelaki warganegara India menang RM34,180

Agensi
Disember 28, 2022 04:11 MYT
Negara Malaysia yang dijawab Nipun Rajan kepada soalan dalam program "Who Wants to Be a Millionaire" membolehkannya membawa pulang wang tunai 640,000 Rupee (RM34,180). - Gambar tangkap layar Tik Tok / kingmshahrul1
MUMBAI: Seorang lelaki warganegara India memenangi hadiah wang tunai selepas berjaya menjawab soalan mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program "Who Wants to Be a Millionaire".
Rancangan dalam versi bahasa Hindi yang dihoskan oleh pelakon legenda Bollywood, Amitabh Bachchan itu mula menjadi bualan netizen Malaysia.
Dalam klip berkenaan, pengacara Amitabh Bachan dilihat bertanya kepada peserta, Nipun Rajan, "di negara mana pada 2022, Anwar Ibrahim dipilih sebagai Perdana Menteri?"
Pilihan yang disediakan ialah Iraq, Malaysia, Bahrain dan Indonesia.
Nipun betul memilih Malaysia sebagai jawapan tepat seterusnya berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah 640,000 Rupee (RM34,180).
Menurut laman Wiki-fandom untuk rancangan permainan itu, Nipun muncul dalam episod Kaun Banega Crorepati yang disiarkan pada 23 Disember lalu.
Dalam program itu, Nipun berjaya menjawab 11 daripada 17 soalan diajukan dan meninggalkan pentas dengan wang terkumpul sebanyak 640,000 rupee selepas gagal menjawab soalan ke 12.
Rata-rata rakyat Malaysia berasa teruja dan bangga kerana Perdana Menteri ke-10 dipaparkan dalam program terkenal itu.
#Anwar Ibrahim #Amitabh Bachchan #Bollywood #Who Wants To Be A Millionaire