TOKYO: Kerajaan Jepun merancang mengurangkan tempoh kuarantin kepada tiga hari berbanding 10 hari sebelum ini untuk pengembara yang sudah disuntik vaksin COVID-19, terutamanya pengembara perniagaan, lapor media tempatan Selasa.

Di bawah peraturan baharu itu, ahli perniagaan yang tiba di Jepun diminta menjalani kuarantin kendiri selama tiga hari.

Mulai hari keempat, jika ujian saringan COVID-19 negatif mereka akan dibenarkan menggunakan pengangkutan awam dan makan di luar manakala syarikat yang menjalankan perniagaan dengan mereka perlu menyimpan rekod keberadaan mereka.

Peraturan baharu itu akan berkuat kuasa seawal 8 Nov, lapor Xinhua.

Kerajaan sebelum ini mewajibkan ketibaan antarabangsa untuk kuarantin kendiri selama 14 hari untuk membantu mencegah penularan COVID-19. Pada Oktober, tempoh kuarantin dikurangkan kepada 10 hari bagi mereka yang telah selesai inokulasi.

Sementara itu, pegawai bercadang untuk membenarkan kemasukan baharu penuntut asing ke negara ini, yang pada dasarnya telah dihentikan sebelum ini, untuk memulakan atau meneruskan pengajian di Jepun, dengan sekolah perlu mengawasi mereka.

Kerajaan turut merancang meningkatkan jumlah maksimum ketibaan luar negara daripada 3,500 sehari kepada 5,000, yang akan berkuat kuasa akhir bulan ini.

-- BERNAMA