TOKYO: Jepun mengesahkan kes kedua varian Omicron COVID-19 pada Rabu, menurut jurucakap tertinggi kerajaan.

Ia dikesan pada seorang lelaki berusia 20-an yang tiba di lapangan terbang Narita dekat Tokyo pada Sabtu selepas beliau berada di Peru baru-baru ini, kata Ketua Setiausaha Kabinet Hirokazu Matsuno.

Lelaki bukan rakyat Jepun dari Peru itu kini dikuarantin di kemudahan perubatan, dan bukan kontak rapat kes pertama, seorang diplomat berusia 30-an yang melakukan perjalanan dari Namibia, menurut kerajaan.

Terdahulu, Matsuno berkata Jepun akan melarang kemasukan semula semua warga asing yang baru-baru ini memasuki Angola, Botswana, Eswatini, Lesotho, Malawi, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan, Zambia dan Zimbabwe.

Langkah itu akan berkuat kuasa pada Khamis dan kekal "buat masa ini", lapor Xinhua memetik Matsuno pada sidang akhbar. Jepun sudahpun menyekat kemasukan baharu warga asing dari seluruh dunia mulai Selasa.

Pengecualian dibenarkan dalam "keadaan tertentu" yang melibatkan pasangan asing dan anak warganegara Jepun, diplomat dan kes kemanusiaan, kata kerajaan.

Pengecualian akan dikecilkan lagi bagi membendung penularan varian Omicron yang disifatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebagai virus yang membimbangkan, kata Matsuno.

Kementerian Pengangkutan juga berkata syarikat penerbangan diminta berhenti menerima tempahan tiket baharu bagi penerbangan antarabangsa yang tiba di Jepun sebagai sebahagian daripada kawalan sempadan yang lebih ketat.

-- BERNAMA