JEPUN merancang mahu meningkatkan sokongan kewangan kepada isi rumah untuk mereka berpindah dari ibu kota bagi mengatasi kekurangan populasi di kawasan lain di seluruh negara.

Keluarga yang layak di kawasan metropolitan Tokyo akan menerima 1 juta yen (RM33,600) bagi setiap anak bermula tahun fiskal 2023 jika mereka 'berhijrah' ke lokasi kurang popular iaitu lebih tiga kali ganda daripada insentif 300,000 yen (RM10,079) sedia ada.

Di bawah cadangan baharu itu, isi rumah yang mempunyai dua anak boleh menerima sehingga 3 juta yen (RM100,800) jika mereka meninggalkan kawasan sekitar Tokyo.

Insentif kewangan itu menonjolkan cabaran dihadapi Jepun dengan kadar kelahiran yang rendah dan jangka hayat yang panjang.

Pemerintah Jepun memulakan inisiatif itu bagi menarik perpindahan penduduk pada 2019 yang membenarkan isi rumah yang tinggal di kawasan metropolitan Tokyo selama lima tahun untuk memohon dana sokongan jika mereka mahu berpindah.

Selain itu, keluarga terbabit juga boleh bekerja dari jarak jauh atau melibatkan diri dalam perniagaan kecil dan industri sederhana atau memulakan perniagaan di kawasan setempat yang membolehkan golongan itu memohon lebih banyak sokongan kewangan.

Menurut laporan Nikkei, skim itu menyaksikan penyertaan 1,184 isu rumah pada 2021 berbanding 71 pada tahun pertama ia dilancarkan. - Sinar Harian/ Agensi