PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mengumumkan sekatan terbaharu ke atas junta tentera Myanmar.

Beliau mengeluarkan perintah eksekutif bagi menghalang jeneral junta daripada mendapat akses kepada aset bernilai ASD1 bilion di AS.

Beberapa langkah tambahan akan menyusul selepas ini, kata Biden pada satu sidang media di Washington CD pada Rabu.

Perintah eksekutif baharu ini membolehkan AS mengenakan sekatan ke atas pemimpin yang mengarahkan rampasan kuasa, kepentingan perniagaan mereka serta keluarga mereka.

"Kami akan mengenal pasti sasaran minggu ini dan akan mengenakan sekatan ketat ke atas kawalan eksport.

"Kami membekukan aset Amerika yang memberi manfaat kepada kerajaan Myanmar, dan pada masa sama mengekalkan sokongan terhadap penjagaan kesihatan, kumpulan hak asasi dan bidang lain yang memberi manfaat kepada rakyat Myanmar secara langsung," katanya.

Biden turut mengulangi desakan supaya junta Myanmar membebaskan pemimpin politik yang ditahan, termasuk Aung San Suu Kyi.

Junta tentera sebelum ini mempertahankan rampasan kuasa atas alasan kerajaan dipilih atas keputusan pilihan raya yang dicemari penipuan.