SOLO (JAWA TENGAH): Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra disapa Jokowi menyertai ribuan peminat muzik menonton konsert band veteran tersohor British, Deep Purple yang berlangsung di Solo, Jawa Tengah, pada Jumaat malam.

Kehadiran pemimpin nombor satu negara jiran itu ke konsert rock sedemikian bukanlah sesuatu yang asing kerana Jokowi sememangnya diketahui seorang pencinta muzik khususnya genre sedemikian.

Bahkan, band Deep Purple merupakan antara kumpulan muzik rock yang sangat diminati beliau sejak dari zaman remaja lagi.

Kehadiran Jokowi ke konsert berkenaan menyebabkan kawalan keselamatan diperketatkan dengan seramai 1,200 anggota keselamatan daripada pelbagai agensi dikerahkan ke Audiorium Universiti Muhammadiah di Jawa Tengah itu iaitu tempat berlangsungnya konsert Deep Purple.

Seperti peminat-peminat Deep Purple yang lain dan pencinta muzik rock, Jokowi juga perlu membayar sendiri harga tiket menonton konsert kumpulan legenda dunia itu.

Jokowi tidak mendapat sebarang keistimewaan.

Wali Kota Solo, Gibran Rakabuming Raka yang juga anak Jokowi mengesahkan Presiden Indonesia itu membeli tiket untuk menonton Deep Purple.

Ganjar sendiri turut berbuat demikian dan menyertai bapanya.

Kata beliau, penganjur sejak dari awal-awal lagi sudah memaklumkan tiada tiket percuma ditawarkan kepada Presiden Jokowi.

Ganjar seperti juga bapanya, sangat menggemari muzik rock dan kedua-dua beranak itu pernah menghadiri beberapa konsert kumpulan rock berprofil tinggi yang diadakan di Jakarta dan kota-kota lain di Indonesia sebelum ini.

Antara konsert yang pernah dihadiri Jokowi ialah konsert Linkin Park pada 2011 selain persembahan Gun’s n Roses.

Bahkan, wartawan yang sering membuat liputan Jokowi pula pernah dilaporkan berkata, mereka sering mendengar lagu-lagu rock diputarkan dalam kenderaan yang dinaiki Presiden Indonesia ketika beliau membuka pintu kereta.