SINGAPURA:Jururawat berusia 46 tahun menjadi individu pertama di Singapura menerima vaksin COVID-19 buatan Pfizer-BioNTech, yang merupakan sebahagian kempen imunisasi virus itu.

Sarah Lim, jururawat kanan di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) adalah individu pertama daripada lebih 30 kakitangan pusat tersebut yang divaksin hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, kesemua mereka dijadual mengambil semula dos kedua vaksin tersebut pada 20 Januari depan.

"Saya rasa beruntung dan bersyukur menjadi individu pertama divaksin di Singapura," kata Lim, yang bertugas melakukan saringan kes suspek COVID-19.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan MOH, Sarah berharap dapat menggalakkan lebih ramai individu mengambil vaksin.

Singapura merupakan negara pertama di Asia yang meluluskan penggunaan vaksin buatan Pfizer-BioNTech.

Republik itu juga telah menandatangani perjanjian jual beli dan membuat bayaran pendahuluan dengan beberapa pengeluar lain termasuk Moderna dan Sinovac.

Mereka menjangkakan akan mempunyai dos yang mencukupi kepada semua 5.7 juta rakyatnya pada suku ketiga tahun 2021.

Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong serta pasukan kabinetnya turut menawarkan diri untuk menjadi antara penerima terawal vaksin itu.

Program vaksinasi di Singapura dilakukan secara percuma dan sukarela namun kerajaan menggalakkan mereka yang layak dari segi kesihatan turut mengambilnya.

Singapura mula agih, suntik vaksin