NEW YORK:Seorang petugas kesihatan di Pusat Perubatan Long Island menjadi individu pertama diberikan suntikan vaksin selepas Amerika Syarikat (AS) meluluskan kegunaan vaksin melawan COVID-19, pada Isnin.

Sandra Lindsay, jururawat di unit rawatan rapi (ICU) yang diberikan dos suntikan vaksin Pfizer-BioNTech berharap langkah itu boleh meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk turut mengambil vaksin itu.

“Suntikan itu tidak berbeza dengan suntikan vaksin lain. Saya penuh harapan, saya rasa lega. Saya rasa macam penyembuhan semakin hampir. 

"Saya harap ini merupakan permulaan kepada berakhirnya satu tempoh yang sangat menyakitkan dalam sejarah kita.

"Saya ingin menanamkan keyakinan kepada masyarakat bahawa vaksin ini selamat," kata Lindsay, menurut laporan Reuters.

Pusat perubatan itu, yang dikendalikan Northwell Health, sistem penjagaan kesihatan terbesar di New York, merupakan satu daripada beberapa hospital terpilih di AS yang menguruskan suntikan vaksin COVID-19 pertama di luar ujian klinikal pada Isnin.

Vaksin tersebut dibangunkan Pfizer Inc dan rakan dari negara Jerman, BioNTech SE.

Gabenor New York Andrew Cuomo memuat naik di Twitter, foto Lindsay menerima suntikan yang diberi doktor di lengan beliau.

“Inilah wajah seorang hero," tulis Cuomo.

Beberapa minit selepas itu, Presiden Donald Trump turut mengeluarkan tweet: “Vaksin pertama diberikan. Tahniah AS! Tahniah DUNIA!"

Sebelum ini, vaksin Pfizer-BioNTech telah diluluskan untuk kegunaan kecemasan oleh beberapa pihak berkuasa pada Jumaat selepas menunjukkan keberkesanan 95 peratus dalam mengelak jangkitan virus.

Pada Isnin, AS merekodkan sebanyak 16,286,343 kes kumulatif positif COVID-19 dan 299,489 kematian.