KABUL: Taliban menambah jumlah anggota kabinet sementara pada Selasa dengan menamakan lebih ramai menteri dan timbalan menteri.

Bagaimanapun, masih tiada seorang pun calon golongan wanita, meskipun pelantikan kesemua golongan lelaki menimbukan pertikaian pelbagai pihak dalam kalangan komuniti antarbangsa.

Ketika pemerintahan mereka di Afghanistan pada akhir 1990-an, Taliban telah melarang pelajar perempuan dan wanita hadir ke sekolah dan terbabit dalam bidang pekerjaan.

Dalam sidang media pada Selasa, jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid menyatakan kemungkinan untuk menambah calon wanita ke dalam kabinet pemerintahan untuk masa mendatang, namun tidak memperincikan.

Mujahid juga menegaskan bahawa Taliban memberi jaminan akan membenarkan semua pelajar perempuan kembali ke sekolah dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, beliau tidak menyentuh mengenai isu Kementerian Hal Ehwal Wanita yang ditutup minggu lalu dan menggantikannya dengan sebuah jabatan lain.