Selepas dilabel sebagai 'haiwan' oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump susulan serangan senjata kimia tahun lalu, Presiden Syria Bashar Al Assad mengeluarkan kenyataan terbaharu.

Bashar berkata, tenteranya akan melancarkan serangan terhadap tentera Amerika Syarikat di Syria.

Tegasnya, sama ada Amerika Syarikat di pihak pemberontak atau tidak, tenteranya akan tetap melancarkan serangan ke arah mereka sekiranya tidak berundur.

Kenyataan itu dibuat Bashar dalam satu temu bual bersama sebuah stesen televisyen Rusia pada Jumaat.

Jelas Bashar lagi, pihak akan turut mengambil alih mana-mana kawasan yang telah diduduki tentera AS.

Berhubung perkataan 'haiwan' yang digunakan Trump, Bashar berkata: "Apa yang dikatakan itu adalah merujuk kepada diri sendiri. Kamulah haiwan itu."

Jelas Bashar lagi pentadbirannya telah membuka pintu rundingan terhadap kumpulan yang dipanggil Pasukan Demokrasi Syria (SDF), yang diketuai oleh YPG, sebuah pasukan tentera Kurdish yang disokong AS.

"Ini adalah pilihan pertama. Sekiranya tidak, kami akan menggunakan kuasa tentera dan membebaskan kawasan tersebut secara paksa.

"Kami tidak mempunyai pilihan lain, sama ada mereka bersama Amerika Syarikat atau tidak," jelasnya.

Dalam wawancara yang diterbitkan agensi berita Syria sebelum ini, Bashar menegaskan bahawa AS perlu berhenti campur tangan di Syria.

"Orang Amerika harus pergi, dengan apa cara sekalipun mereka tetap perlu pergi.

"Mereka datang ke Iraq tanpa asas undang-undang, dan anda lihat apa yang berlaku kepada mereka.

"Mereka perlu belajar dari semua itu, sebagaimana orang Iraq, Syria juga tidak terkecuali. Orang ramai tidak akan menerima orang asing di rantau ini lagi," jelasnya.

Sementara itu dalam kenyataan balasnya, Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa Washington tidak berhasrat untuk memerangi tentera Syria mahupun Iran sebaliknya mahu bersama-sama menentang militan Daish di negara itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, Washington mempertahankan tindakannya yang mahu membantu rakan pakatannya yang menentang militan.

"Bagaimanapun, seperti yang telah kita katakan sebelum ini, jika diserang kita tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa yang ada dan berkadar untuk mempertahankan pasukan AS, gabungan, atau rakan kongsi yang terlibat dalam operasi untuk mengalahkan militan Daish," jelas kenyataan.

Dianggarkan 2,000 anggota tentera pasukan khas Amerika dipercayai berada di Syria, di mana mereka telah membantu kumpulan SDF dan YPG dan telah menguasai wilayah terbesar disempadan Syria-Turki.

Sejak tercetusnya konflik di Syria sekurang-kurangnya 500,000 ribu orang terbunuh dan menyebabkan hampir 6 juta penduduk hilang tempat tinggal, manakala lebih 5 juta menjadi pelarian.