AUSTIN: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia selepas diserang anjing peliharaan keluarganya.

Elyah Brown disahkan mati akibat kecederaan teruk di beberapa bahagian tubuhnya ketika pemeriksaan di Pusat Perubatan Kanak-Kanak Cook.

Polis masih menyiasat insiden menyayat hati yang berlaku di halaman belakang rumah keluarga itu di Texas.

Anjing kacukan peliharaan keluarga Elyah itu ditangkap dan dilapor dimatikan, menurut The Fort Worth Star-Telegram.

Setakat ini pakar masih belum dapat memastikan baka kacukan anjing tersebut.

Sementara itu, halaman GoFundMe keluarga mangsa setakat ini berjaya mengumpulkan sejumlah $10,380 (kira-kira RM42,700) bagi membiayai urusan pengebumian dan peringatan untuk Elyah.

"Dia seorang yang cerdas, cantik dan memberi inspirasi.

"Elyah berumur 4 tahun apabila nyawanya diragut dalam serangan anjing," tulis keluarga itu.

Meskipun tiada tuduhan difailkan akibat kematian itu, Polis Fort Worth berkata unit antipenganiayaan kanak-kanak telah dimaklumkan.