SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dilaporkan sesat selepas ditinggalkan ibunya bersendirian di pertengahan trek pendakian di Alaska untuk mendapatkan bantuan, ditemui mati tiga hari kemudian.

Terdahulu, ibu mangsa yang dikenali sebagai Jennifer Treat, 36, dikatakan membawa anaknya itu mendaki di kawasan pendakian dikenali sebagai Lunch Creek itu, lapor portal berita People.com.

Menurut kenyataan pasukan polis Alaska, Treat kemudian meninggalkan anaknya bagi mendapatkan bantuan selepas kanak-kanak itu mengadu keletihan dan enggan meneruskan pendakian.

“Dalam keadaan tergesa-gesa, Treat terjatuh menyebabkan kakinya cedera selepas tersadung akar pokok. Dia tidak dapat meneruskan perjalanan dan hanya ditemui pendaki lain keesokan harinya.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik polis menerima maklumat mengenai kejadian itu.

“Bagaimanapun, pasukan SAR menemui kanak-kanak itu sudah meninggal dunia kira-kira jam 2.45 petang Sabtu,” kata kenyataan polis terbabit.

Punca kematian kanak-kanak itu bagaimanapun tidak didedahkan pasukan polis berkenaan.

Dalam pada itu, menurut laman web pendakian, trek sejauh 13.7 kilometer itu dikategorikan sebagai sukar.