SEOUL: Kanak-kanak warga asing berumur tiga hingga lima tahun di Seoul akan menerima bantuan yuran pendidikan yang setara dengan kanak-kanak Korea Selatan mulai Mac, kata pejabat pendidikan bandar itu pada Isnin.

Pejabat Pendidikan Metropolitan Seoul akan memperuntukkan sehingga 150,000 Won (AS$126) meliputi 100,000 Won untuk program harian dan 50,000 won bagi program selepas sekolah untuk sebulan kepada kanak-kanak warga asing yang mendaftar di tadika awam.

Sementara sebanyak 350,000 Won iaitu 280,000 Won untuk sekolah harian dan 70,000 Won untuk program selepas sekolah akan diberikan kepada mereka yang mendaftar di tadika swasta, menurut agensi berita Yonhap.

Hanya kanak-kanak warga asing berdaftar yang berumur antara tiga dan lima tahun layak menerima bantuan itu.

Pada masa ini terdapat 318 kanak-kanak warga asing yang mendaftar di tadika awam, termasuk 264 yang mengikuti kelas selepas sekolah. Seramai 366 kanak-kanak belajar di sekolah swasta, termasuk 313 mengikuti program selepas sekolah.

Pejabat pendidikan memperuntukkan sejumlah 1.87 bilion Won untuk pemberian bantuan itu, tambahnya.

Ibu bapa boleh memohon sokongan yuran pendidikan anak-anak mereka di tadika dengan dokumen yang diperlukan, termasuk kad pendaftaran warga asing.

-- BERNAMA