SYDNEY: Pihak berkuasa Australia pada Rabu menemui kapsul radioaktif yang hilang selepas pencarian selama hampir seminggu di sepanjang 1,400 kilometer lebuh raya.

Kapsul itu kini sedang dalam perjalanan ke sebuah fasiliti di Perth pada Khamis, kata Menteri Perkhidmatan Kecemasan, Stephen Dawson dalam sidang akhbar.

"Jika anda mempertimbangkan skop kawasan pencarian, mencari kapsul ini adalah satu cabaran, seperti mencari jarum dalam timbunan jerami," kata Dawson.

Kapsul radioaktif itu adalah sebahagian daripada alat yang digunakan untuk mengukur ketumpatan bijih besi dari lombong Gudai-Darri Rio Tinto (RIO.AX) di wilayah terpencil Kimberley.

Ia hilang ketika dalam transit untuk dibawa ke sebuah fasiliti di pinggir bandar Perth, dengan jarak perjalanan dianggarkan kira-kira 2,000 kilometer.

Pencarian dilakukan oleh pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Kecemasan Australia Barat, jabatan pertahanan dan pakar radiasi di sepanjang lebuh raya.

Kapsul berukuran diameter 6 milimeter dan panjang 8 milimeter, mengandungi Caesium-137 yang memancarkan sinaran menyamai 10 sinar-X sejam.

Orang ramai dinasihatkan berada lima meter dari kapsul itu jika menemuinya kerana pendedahan boleh menyebabkan luka terbakar atau penyakit akibat radiasi, namun memandu melepasinya dipercayai berisiko rendah.