KASUT yang dipakai bintang NBA, Michael Jordan berjaya dilelong pada harga AS$2.2 juta (RM9.7 juta) sekali gus mencatat rekod lelongan tertinggi untuk kasut sukan yang dipakai ketika perlawanan.

Legenda bola keranjang itu memakai kasut 'Bred' Air Jordan 13s semasa perlawanan kedua Pusingan Akhir NBA 1998 ketika memburu kejuaraan NBA keenam dan terakhirnya.

Jualan itu juga memecahkan rekodnya sendiri yang sebelum ini turut menjual sepasang kasut berharga AS$1.5 juta (RM6.62 juta) pada September 2021.

Tahun lalu, salah satu jersinya dijual pada harga AS$10.1 juta (RM44.61 juta).

"Keputusan lelongan hari ini membuktikan bahawa permintaan untuk koleksi sukan Michael Jordan terus mengatasi semua jangkaan," kata ketua pakaian jalanan dan barang koleksi moden di Sotheby's, Brahm Wachter dalam satu kenyataan.

Jordan memakai kasut itu untuk separuh masa kedua ketika kemenangan Chicago Bulls 93-88 ke atas Utah Jazz pada 5 Jun 1998.

Pusingan Akhir dipaparkan dalam dokumentari ESPN/Netflix 2020 yang popular 'The Last Dance' mengenai musim terakhir Jordan bersama pasukan Chicago. -Sinar Harian