ROM: Wilayah Emilia-Romagna di utara Itali yang dilanda hujan lebat awal minggu ini, masih diletakkan di bawah keadaan berjaga-jaga, walaupun wilayah itu mula pulih selepas dilanda banjir terburuk dalam tempoh seabad, lapor Agensi Anadolu.

Hujan lebat yang melanda selepas berbulan-bulan kemarau terik itu meruntuhkan lebih 20 tebing sungai dan menyebabkan 300 kejadian tanah runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang selain mengakibatkan puluhan ribu yang lain hilang tempat tinggal.

Banyak bandar dan pekan kecil ditenggelami lumpur yang memaksa penduduk meninggalkan rumah manakala penyelamat terus mencari mereka yang hilang.

Di kawasan Ravenna, sebuah helikopter penyelamat terhempas pada Sabtu semasa membaiki grid elektrik tempatan, mencederakan sekurang-kurangnya empat orang.

Angka kematian dan kemusnahan yang besar di kawasan itu, termasuk kerosakan bernilai berbilion dolar dalam sektor pertanian dan perniagaan, mencetuskan kontroversi mengenai bagaimana tindak balas bencana oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni.

Sejak beberapa hari lepas, pakar alam sekitar menyuarakan mengenai kesan cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku Itali dan menggariskan pentingnya tindakan segera diambil.

-- BERNAMA