Kazakhstan menafikan laporan mengenai amaran peringatan daripada Kedutaan China berkaitan penularan jangkitan mirip pneumonia di negara Asia Tengah itu, yang disifatkan sebagai lebih bahaya daripada COVID-19.

Kedutaan China dalam kenyataan pada lewat Khamis menerusi akaun rasmi WeChatnya memberitahu, terdapat peningkatan kes yang ketara di bandar-bandar Kazakhstan seperti di Atyrau, Aktobe dan Shymkent sejak pertengahan Jun lalu.

Namun, pada Jumaat, Kementerian Kesihatan Kazakhstan menyifatkan laporan berkenaan adalah
"berita palsu".

Kementerian itu mengatakan jumlah jangkitan pneumonia berpunca daripada bakteria, kulat dan virus, dan yang merangkumi kes dengan sebab tidak jelas, adalah selari dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Maklumat yang diterbitkan oleh beberapa media China mengenai pneumonia baharu di Kazakhstan adalah tidak betul," kata kementerian itu.

Kazakhstan, yang melaksanakan perintah berkurung kali kedua minggu ini untuk mengawal pandemik, mencatatkan hampir 55,000 kes jangkitan COVID-19, termasuk 264 kematian. Kes baharu harian pada Khamis mencatatkan rekod tertinggi iaitu 1,962 kes.

Pada Selasa, agensi berita Kazinform melaporkan, jumlah kes radang paru-paru meningkat 2.2 kali ganda pada Jun berbanding dengan tempoh sama pada tahun 2019.

Dalam kenyataan itu, Kedutaan China menyatakan penyakit berkenaan telah menyebabkan 1,772 kematian pada pertengahan pertama tahun ini, dengan 628 kematian pada bulan Jun, termasuk warga China.

"Kadar kematian penyakit ini jauh lebih tinggi berbanding kes pneumonia yang disebabkan oleh COVID-19," jelas kenyataan itu.

Bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada penumonia yang dimaksudkan itu disebabkan oleh virus yang berkaitan dengan koronavirus atau strain yang berlainan.

Kementerian Kesihatan Kazakhstan dan institusi kesihatan lain giat menjalankan kajian perbandingan namun, masih belum membuat sebarang rumusan.

Sebelum ini, tabloid Global Times yang dikendalikan People's Daily melaporkan, Kementerian Luar Kazakhstan "enggan mengulas pertanyaan mengenai amaran kedutaan China."