PARIS: Anggota bomba di kawasan barat daya Perancis bergelut memadam kebakaran yang bermula sejak Isnin malam sehingga memusnahkan lebih 300 hektar kawasan hutan di wilayah Gironde.

Kebakaran itu sekali gus memaksa anggota bertahan semalaman untuk mengawal api sebelum ia merebak lebih jauh.

Sehingga kini kebakaran yang disebabkan cuaca panas melampau pada bulan ini keseluruhannya telah menjejaskan lebih 3,600 hektar kawasan.

Dalam kejadian terbaharu ini, lebih 500 penduduk dipindahkan selepas kebakaran tercetus di selatan Bordeaux yang terletak berhampiran Dax dan wilayah Gironde.

Dua pesawat khas pemadaman api milik Canadair turut dikerah bagi membantu operasi pemadaman.

Manakala, di Amerika Syarikat pula, kebakaran turut tercetus di sebuah hutan di timur laut San Francisco, California.

Kebakaran buruk itu merebak hampir 204 kilometer persegi.

Lebih 11,000 penduduk terpaksa dipindahkan selain mengancam 6,000 rumah di Foresthill dan Lembah Todd.