SINGAPURA: Pengurangan kebergantungan global terhadap teknologi barat berikutan peningkatan ketegangan geopolitik merupakan antara satu daripada empat trend keselamatan siber yang wajar diberi perhatian, menurut laporan Singapore Cyber Landscape (SCL) 2021 pada Isnin.

Dalam laporan itu, Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) memaklumkan Rusia sebelum ini menghadapi halangan memisahkan diri daripada teknologi Amerika Syarikat, susulan perkhidmatan pembayaran dan penawaran produk yang digunakan oleh warga Rusia berisiko digantung.

"Dengan sekatan yang dikenakan oleh firma teknologi barat, keinginan Rusia untuk mengelakkan daripada bergantung kepada teknologi barat bertambah kuat.

"Sementara itu, negara seperti China juga telah berusaha untuk meningkatkan kemampuannya dalam bidang teknologi canggih dan mengurangkan penggantungan kepada pihak luar.

"Dunia dengan norma siber, ekosistem dan piawaian yang berbeza mungkin menjadi kenyataan dalam masa terdekat," menurut CSA.

Satu lagi trend yang wajar diamati adalah pihak selain mana-mana negara memainkan peranan yang lebih besar dalam konflik geopolitik.

CSA memaklumkan kumpulan penjenayah siber dan penggodam telah dilihat turut mengambil bahagian dalam konflik Rusia-Ukraine, serta terlibat dalam pelbagai aktiviti siber berniat jahat bermotifkan politik, selain untuk keuntungan peribadi.

"Perkembangan ini meningkatkan risiko tindak balas, kerana sebarang serangan siber yang serius dibuat kumpulan ini boleh dijadikan alasan oleh mana-mana pihak meningkatkan ketegangan.

"Dalam ruang lingkup siber yang saling berkaitan, kerosakan kolateral kepada organisasi yang tidak dapat dikaitkan dengan Rusia atau Ukraine telah menjadi kemungkinan yang membimbangkan," katanya.

Dua lagi trend keselamatan siber yang perlu diberi perhatian adalah peningkatan penipuan berasaskan kripto, dan sasaran terhadap peranti Internet of Things (IoT) dalam serangan perisian tebusan, menurut agensi itu.

-- BERNAMA