KEBOCORAN keempat dikesan dalam saluran paip gas bawah laut yang menghubungkan Rusia ke Eropah.

Ia susulan letupan dilaporkan awal minggu ini yang disyaki berpunca daripada sabotaj.

Menurut Pengawal Pantai Sweden pada Khamis, terdapat dua kebocoran di bahagian Sweden dan dua kebocoran di bahagian Denmark.

Ini selepas tiga kebocoran disahkan awal minggu ini pada saluran paip Nord Stream di Laut Baltik.

Menurut pegawai itu, dua kebocoran di bahagian Sweden, satu di Nord Stream 1 dan di Nord Stream 2, adalah kira-kira satu batu nautika antara satu sama lain.

Pihak pengawal pantai menyedari kebocoran itu sejak Selasa, tetapi tidak dapat menjelaskan dengan segera mengapa ia tidak dilaporkan sebelum ini. 

BACA: Letupan saluran paip gas asli di Laut Baltik dipercayai angkara sabotaj

BACA: Denmark dakwa berlaku kebocoran gas di Nord Stream

Pihak berkuasa Sweden sebelum ini melaporkan kebocoran pada saluran paip Nord Stream 1 di timur laut Bornholm.

Sementara itu, Denmark mengesahkan kebocoran pada Nord Stream 2 di tenggara pulau itu, dan satu lagi ke arah timur laut di atas Nord Stream 1.

Kebocoran besar menyebabkan kepulan gas kelihatan dalam air, yang menggelegak di permukaan laut.

Sebuah kapal mencari dan menyelamat pengawal pantai Sweden sedang membuat rondaan di kawasan itu.

Rusia menafikan ia bertanggungjawab di sebalik letupan itu, begitu juga Amerika Syarikat yang berkata cadangan Moscow bahawa ia akan merosakkan saluran paip adalah 'tidak masuk akal'.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan bermesyuarat pada Jumaat untuk membincangkan insiden itu.