NEW DELHI: Wartawan dan organisasi media membidas tindakan anggota polis Delhi yang menahan wartawan Mohammed Zubair, selaku pengasas bersama laman sesawang semak fakta Alt News, pada Isnin susulan hantaran lamanya di media sosial.

Pihak berkuasa India perlu "segera membebaskan Zubair tanpa mengenakan sebarang syarat", menurut Jawatankuasa Perlindungan Wartawan yang berpangkalan di New York dalam satu kenyataan.

"Penahanan wartawan Mohammad Zubair menandakan tahap kebebasan media di India rendah, di mana kerajaan telah mewujudkan persekitaran yang tidak selamat untuk wartawan melaporkan isu akan fahaman berbeza," kata penyelaras program Asia CPJ Steven Butler.

Zubair juga sentiasa berdepan ancaman dikenakan "tindakan undang-undang" berhubung kerjayanya, menurut organisasi media digital DIGIPUB News India Foundation.

Zubair telah dipanggil untuk soal siasat dalam sel khas polis Delhi berhubung kes 2020 di mana beliau telah mendapat perlindungan mahkamah daripada ditahan, kata pengasas bersama Alt News, Pratik Sinha.

Beliau kemudian ditahan membabitkan kes lain dan tiada notis diberikan, kata Sinha.

Baru-baru ini, Zubair mengetengahkan isu mengenai kenyataan kontroversi seorang ahli politik parti pemerintah India membabitkan Nabi Muhammad (SAW), sehingga membawa kepada tindak balas antarabangsa.

Penahanan Zubair juga mendapat kecaman daripada pemimpin pembangkang India.

"Menahan satu suara yang menyatakan kebenaran hanya akan menimbulkan seribu lagi," kata pemimpin parti Kongres Rahul Gandhi.

-- BERNAMA