POLIS Thailand menyimpulkan punca kematian pelakon Nida 'Tangmo' Patcharaveerapong yang terjatuh dari bot di Sungai Chao Phraya di Nonthaburi, utara Bangkok pada 24 Februari lalu disebabkan oleh kecuaian.

Lapor laman berita Thaiger, kesimpulan itu dibuat pihak berkuasa ketika membentangkan ringkasan siasatan selama berbulan-bulan pada Selasa selain mengumumkan mendakwa enam suspek, termasuk lima yang berada dalam bot dengan pelakon tersebut.

Dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Wilayah 1 di Bangkok, Leftenan Jeneral, Jirapat Phumjit berkata bahawa pihak detektif telah berpuas hati dengan bukti dan testimoni saksi dan menyatakan mereka tidak perlu menyiasat lebih lanjut.

Menurut laporan, polis menjelaskan bahawa Tangmo terjatuh dari belakang bot laju pada jam 10.34 malam (waktu tempatan).

Katanya, kematian pelakon itu bukan angkara pembunuhan. Sebaliknya merumuskan bahawa seseorang telah 'cuai' di dalam bot sehingga menyebabkan kematian Tango atau kes pembunuhan tanpa sengaja.

"Tangmo tidak terjatuh dalam sungai akibat kesilapan sendiri, tetapi seseorang yang telah cuai menyebabkan pelakon itu terbunuh," menurut laporan.

Phumjit berkata, penyiasat membuat kesimpulan bahawa selepas Tangmo terjatuh dalam sungai, daya sedutan enjin bot telah menariknya ke bawah kipas motor dan menyebabkan 26 luka termasuk luka besar di paha kanannya.

Dua bedah siasat menyimpulkan bahawa Tangmo meninggal dunia akibat lemas dan tiada dadah atau bahan lain ditemui dalam sistem badan sehingga boleh melumpuhkannya. - Agensi

Artikel asal ini diterbitkan di portal Gempak