COVID-19: Keganasan rumah tangga meningkat sejak wabak tercetus - PBB

Nailah Huda
April 6, 2020 03:44 MYT
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggesa agar kerajaan seluruh dunia mengutamakan keselamatan wanita ketika melaksanakan PKP. Gambar hiasan
SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres menggesa agar kerajaan seluruh dunia mengutamakan keselamatan wanita ketika melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
“Keganasan bukan sahaja berlaku di medan perang.
“Bagi ramai wanita, ancaman itu wujud di satu-satu tempat yang sepatutnya melindungi mereka - di rumah sendiri,” kata Guterres dalam satu perutusan khas.
“Saya membuat rayuan baharu supaya keamanan diwujudkan di rumah-rumah seluruh dunia.”
Katanya, perintah berkurung dan kuarantin semestinya perlu dilaksanakan bagi mengekang penularan koronavirus.
“Namun, ini boleh memerangkap wanita bersama pendera di rumah.”

Peace is not just the absence of war. Many women under lockdown for #COVID19 face violence where they should be safest: in their own homes. Today I appeal for peace in homes around the world. I urge all governments to put womens safety first as they respond to the pandemic. pic.twitter.com/PjDUTrMb9v

— António Guterres (@antonioguterres) April 6, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambah Guterres, ketakutan dan kegusaran mengenai tekanan ekonomi dan sosial sejak kebelakangan ini menyebabkan keganasan rumah tangga meningkat secara mendadak di seluruh dunia.
Ekoran itu, jumlah panggilan ke talian bantuan turut meningkat di beberapa negara.
Malaysia menyaksikan peningkatan sebanyak 57 peratus, iaitu 1,893 panggilan, ke Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sejak PKP dilaksanakan.
Menurut PBB, keadaan serupa dicatatkan di Lubnan sejak tercetusnya pandemik COVID-19.
Di China, panggilan meningkat tiga kali ganda, sementara di Australia, enjin carian seperti Google menyaksikan peningkatan paling tinggi untuk carian berkaitan bantuan keganasan rumah tangga dalam tempoh lima tahun yang lalu.
“Saya gesa agar semua kerajaan mengutamakan pencegahan keganasan terhadap wanita dalam strategi negara menangani COVID-19,” tegas Guterres.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk meningkatkan pelaburan dalam perkhidmatan dalam talian serta dalam organisasi masyarakat sivil.
Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan sistem kehakiman diteruskan supaya keadilan bagi mangsa keganasan terjamin serta membuka tempat perlindungan sebagai perkhidmatan keperluan bawah PKP.
Sistem amaran kecemasan juga boleh ditubuhkan di farmasi dan pasaraya bagi mudah mendapatkan bantuan.
“Hak dan kebebasan wanita adalah asas kepada masyarakat yang kukuh dan berdaya tahan,” ujar Guterres.
BACA: Mengapa kes keganasan rumah tangga meningkat semasa PKP?
BACA: KPWKM nafi laporan peningkatan kes keganasan rumah tangga ketika PKP
Sebelum pandemik COVID-19 tercetus, statistik PBB menunjukkan bahawa satu pertiga daripada wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan.
Pada 2017, 87,000 wanita dibunuh secara sengaja, dan lebih separuh daripada mereka dibunuh oleh pasangan intim atau rapat.
Pada Sabtu, KPWKM menafikan terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga direkodkan melalui Talian Kasih walaupun terdapat peningkatan dalam panggilan yang diterima.
#Antonio Guterres #COVID-19 #keganasan #koronavirus #KPWKM #MCO #Movement Control Order #PBB #perintah kawalan pergerakan #PKP #restriction of movement order #RMO #Rumah Tangga #Talian Kasih