Kelulusan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19: Apa selepas ini?

Reuters
Disember 12, 2020 05:41 MYT
Dalam ujian klinikal, vaksin berkesan sehingga 95% untuk mencegah penyakit dan tidak menunjukkan masalah dalam jangka pendek. -AP
AMERIKA Syarikat (AS) bakal memulakan kempen 2.9 juta dos suntikan vaksin pertama negara itu dalam beberapa hari lagi.
Ia susulan kelulusan bagi membolehkan jutaan dos vaksin koronavirus keluaran Pfizer dan BioNTech diedar ke seluruh negara bagi menjayakan kempen pemvaksinan di negara itu.
BACA: COVID-19: FDA lulus penggunaan kecemasan vaksin Pfizer/BioNTech
Siapa akan terima vaksin?
Banyak negara mengutamakan pekerja dalam sektor penjagaan kesihatan dan warga tua bagi vaksinasi pertama.
Di AS, terdapat kira-kira 21 juta pekerja sektor ini dan 3 juta warga emas di pusat jagaan.
Kerajaan Persekutuan akan mengirimkan beberapa juta dos ke semua negeri setiap minggu tetapi belum mengeluarkan angka yang tepat.
Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) telah menyusun tiga fasa pengedaran vaksin yang menyarankan pekerja sektor penting seperti anggota keselamatan dan petugas rumah jagaan sebagai keutamaan berikutnya.
Cukupkah bekalan vaksin?
Pfizer akan menghasilkan 50 juta dos tahun ini - cukup untuk 25 juta individu, dan kira-kira separuh daripadanya akan dihantar ke Amerika Syarikat.
Panel penasihat pakar FDA akan mengkaji vaksin COVID-19 kedua dari Moderna Inc minggu depan.
Vaksin Johnson & Johnson dan AstraZeneca Plc pula kini dalam peringkat akhir uji kaji.
Apa akan terjadi selepas itu?
Dua suntikan vaksin diberikan dalam tempoh tiga minggu. Pfizer memaklumkan kesan sampingan kebanyakannya adalah ringan hingga sederhana dan sembuh dengan cepat.
Kesan sampingan yang paling teruk berlaku selepas dos kedua, termasuk gejala seperti selesema, keletihan dan sakit kepala.
Walaupun vaksin terbukti sangat efektif, namun belum ada data yang menunjukkan ia juga mencegah jangkitan atau kemampuan menyebarkan virus kepada orang lain.
Memakai topeng dan penjarakan fizikal perlu terus diamalkan sementara menanti lebih ramai menerima suntikan vaksin atau ada bukti yang menunjukkan ia mampu mencegah penularan virus.
#COVID-19 #vaksin #Amerika Syarikat #kesihatan #keselamatan #Pfizer #bekalan vaksin #Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit #CDC #AstraZeneca Plc #Johnson & Johnson