Korea Selatan hari ini melaporkan kematian terbaharu akibat penularan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) menjadikan keseluruhan 32 kematian, sekali gus menunjukkan kadar kematian akibat wabak itu terus meningkat.

Seorang lelaki berusia 55 tahun meninggal dunia semalam, kata Kementerian Kesihatan, menjadikan kadar kematian pada 17.5 peratus.

Angka itu meningkat daripada 15 peratus minggu lalu dan 10 peratus pada dua minggu lalu, walaupun masih rendah berbanding angka Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meletakkan kadar kematian bagi penyakit itu pada kira-kira 36 peratus.

Lelaki itu didiagnosis pada 9 Jun lalu selepas dijangkiti virus berkenaan di Pusat Perubatan Samsung di Seoul - pusat wabak itu di mana kira-kira 90 pesakit, pelawat dan kakitangan perubatan sudah dijangkiti.

Sementara itu, jumlah individu yang dijangkiti kekal tidak berubah pada 182 mangsa dan 15 pesakit berada dalam keadaan kritikal, kata Kementerian Kesihatan.

Seramai 91 pesakit sudah sembuh dan keluar dari hospital termasuk satu pada semalam.

Dalam pada itu, seramai 2,562 orang dikuarantin sama ada di kemudahan awam atau di rumah, katanya.