Kematian akibat senjata api dalam kalangan kanak-kanak, remaja AS meningkat 50 peratus antara 2019 dan 2021

Bernama
April 8, 2023 21:02 MYT
Pusat Penyelidikan Pew menjalankan analisis berikutan kejadian tembakan di sebuah sekolah di Nashville, Tennessee pada 27 Mac yang mengorbankan enam orang, termasuk tiga kanak-kanak. - Gambar hiasan
WASHINGTON: Kematian berkaitan senjata api dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Amerika Syarikat melonjak 50 peratus dalam tempoh dua tahun, menurut analisis yang dikeluarkan Pusat Penyelidikan Pew minggu ini.
Sebelum penularan wabak COVID-19 pada 2019, angka kematian akibat senjata api di kalangan kanak-kanak dan remaja Amerika yang berumur di bawah 18 tahun ialah 1,732.
Tetapi menjelang 2021, angka berkenaan telah meningkat dengan ketara kepada 2,590.
"Kadar kematian dalam kalangan kanak-kanak dan remaja meningkat daripada 2.4 kematian bagi setiap 100,000 penduduk pada 2019 kepada 3.5 setiap 100,000 dua tahun kemudian, iaitu peningkatan 46 peratus," lapor Agensi Anadolu memetik analisis itu.
Pusat Penyelidikan Pew menjalankan analisis berikutan kejadian tembakan di sebuah sekolah di Nashville, Tennessee pada 27 Mac yang mengorbankan enam orang, termasuk tiga kanak-kanak.
Pusat Penyelidikan Pew menganalisis statistik kematian tahunan terkini daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Kanak-kanak #senjata api #Pusat Penyelidikan Pew