BEBERAPA bintang antarabangsa memuat naik ucapan takziah di media sosial kepada pelakon dan pengarah Regina King selepas kematian anaknya, Ian Alexander Jr.

Anak tunggalnya yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-26 Rabu lalu, disahkan meninggal dunia akibat bunuh diri pada Sabtu.

Bagaimanapun, kenyataan keluarga tidak memberi butiran lanjut berhubung perkara itu.

Pelakon Marlee Matlin menulis di Twitter, dia turut merasai kekecewaan King, sementara Loni Love menyifatkan Alexander Jr sebagai seorang anak muda yang sangat baik dan berbakat.

Josh Gad menulis: "Kasih sayang, doa dan ingatan saya ditujukan kepada King dan keluarganya malam ini. Hati ini turut hancur."

King berkata dalam kenyataan itu, anaknya umpama "cahaya terang yang sangat mengambil berat mengenai kebahagiaan orang lain."


Alexander merupakan hasil perkongsian hidup King bersama bekas suaminya, penerbit rakaman Ian Alexander Sr.

Kedua-duanya bercerai pada 2007 selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.

Alexander Jr yang merupakan seorang deejay, sering menemani King ke acara karpet merah.

Mendiang yang juga merupakan seorang pemuzik dan baru sahaja mengeluarkan single berjudul 'Green Eyes' pada 7 Jan lalu, dijadualkan tampil di Los Angeles akhir bulan ini.



*Di Malaysia, orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.