DUNIA bakal berdepan kemelesetan ekonomi lebih buruk dalam tempoh 12 bulan akan datang susulan krisis perang antara Ukraine dan Rusia yang belum berhenti.

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva berkata, kenaikan harga komoditi akibat peperangan yang berlaku akan memberi impak kepada ratusan juta penduduk dunia.

"Tinjauan mendapati ekonomi global telah menjadi 'suram' dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

"Kejutan harga komoditi akibat perang di Ukraine telah memburukkan lagi krisis kos sara hidup bagi ratusan juta orang dan hanya menjadi lebih teruk," jelasnya memetik lapor agensi antarabangsa.

Tambahnya, kadar inflasi juga dijangka terus meningkat. Ketika ini, Amerika Syarikat (AS) menyaksikan kadar inflasi meningkat pada paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun iaitu sebanyak 9.1 peratus Jun lalu.

Jelasnya, ahli ekonomi dan pelabur kini berpendapat Rizab Persekutuan AS boleh menaikkan kadar faedah sebanyak 1 peratus dalam tempoh dua minggu.

"Bank of Canada mengejutkan pasaran pada Rabu lalu dengan menaikkan kadar asasnya dengan mata peratusan penuh, manakala Bank Rizab New Zealand pula meningkatkan kadar penanda arasnya sebanyak 0.5 peratus minggu ini, begitu juga Bank of Korea.

"Bank Pusat Singapura juga telah mengetatkan polisi kewangannya pada Khamis bagi mengawal kadar inflasi semasa," katanya lagi.

Lebih memburukan keadaan jelas Georgieva, apabila penutupan industri berlaku di China secara berulang akibat COVID-19, sekali gus mengakibatkan kekurangan bekalan barangan," jelasnya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan Menteri G20 di Bali baru-baru ini.

"Tinjauan masih sangat tidak menentu. Fikirkan bagaimana gangguan selanjutnya dalam bekalan gas asli ke Eropah boleh memburukkan kemelesetan ekonomi sekali gus mencetuskan krisis tenaga global.

"Ia akan mengakibatkan tahun 2022 menjadi sukar dan mungkin tahun 2023 lebih sukar dengan peningkatan risiko kemelesetan," katanya lagi.

IMF katanya, akan menurunkan unjuran pertumbuhannya bagi pertumbuhan global tahun 2022 dan 2023 yang berakhir Julai ini.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Eropah dijangka mengurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Eropah pada tahun 2023 kepada 1.4 peratus daripada 2.3 peratus.

Tambahnya, Bank Pusat Eropah kini berada di bawah tekanan bagi menaikkan kadar faedah memerangi inflasi sekali gus melindungi mata wang Euro yang terus mencatatkan kemerosotan setara dolar AS buat pertama kali dalam tempoh dua dekad.

Mengulas lanjut kata Georgieva, dengan menaikkan kadar bagi memerangi inflasi adalah satu daripada tiga dasar utama yang diperlukan untuk memerangi ancaman terhadap ekonomi dunia, pada masa sama mengurangkan hutan kerajaan.

Bagaimanapun ujarnya, ia masih berisiko tinggi buat kebanyakan negara susulan kemelesetan ekonomi global ketika ini.