DENPASAR: Pemerintah Indonesia mewajibkan penduduk di republik itu menunjukan Kartu Tanda Penduduk (KTP) atau kad pengenalan setiap kali melakukan pembelian minyak masak bersubdisi iaitu MinyaKita.

Menteri Perdagangan, Zulkifli Hasan berkata, peraturan itu bagi mengelak orang ramai daripada membeli minyak masak secara berlebihan.

Tambahnya, pengguna yang menunjukkan KTP diberi kebenaran untuk membeli MinyaKita sehingga lima kilogram (kg).

"Pun begitu mereka yang membeli bungkusan minyak dalam jumlah yang lebih besar tidak boleh menjualnya semula," ujar Zulkifli.

Zulkifli juga menggesa peniaga supaya tidak menjual produk MinyaKita melebihi harga runcit tertinggi iaitu Rp14,000 (RM3.78) seliter, seperti yang ditetapkan oleh pemerintah.

Katanya, peniaga yang mengabaikan arahan tersebut akan dikenakan tindakan termasuk kedai mereka ditutup oleh Pasukan Petugas Makanan.

Di Indonesia, produk MinyaKita dijual pada harga ditetapkan iaitu Rp14,000 (RM3.95) seliter, manakala produk minyak masak premium lain berharga dalam lingkungan Rp16,000 (RM4.34) hingga Rp17,000 (RM4.60) seliter. - AGENSI/Sinar Harian