JAKARTA: Pergerakan rakyat sewaktu sambutan lebaran atau Hari Raya Aidilfitri di Indonesia mula menunjukkan impak terhadap statistik kes COVID-19 harian.

Kompas.com yang memetik kata Wakil Menteri Kesihatan Dante Saksono Harbuwono melaporkan, kesan itu terlihat pada angka terkini peningkatan kes baharu COVID-19 yang mencapai 5,000 kes setiap hari.

"Ini menunjukkan bahawa kesan pergerakan yang terjadi pasca cuti lebaran sudah mulai terlihat minggu ini. Dari pengiraan anggaran yang kita lakukan, mungkin akan mencapai peningkatan kes sampai pertengahan minggu akan datang," jelas Dante dalam sidang media maya di saluran YouTube Sekretariat Presiden, pada Isnin.

BACA: Indonesia kuat kuasa larangan 'mudik lebaran', namun masih ada yang 'cuba nasib'

Dante juga menyebut tentang faktor lain yang mendorong terjadinya lonjakan kes COVID-19, iaitu penemuan mutasi baharu varian virus korona yang kini mulai masuk ke Indonesia.

Katanya, ada tiga varian yang menjadi perhatian pemerintah, iaitu varian B.1.1.7 dari England, varian B.1.617 dari India dan varian B.1.351 dari Afrika Selatan. Setakat ini, sebayak 54 kes penularan direkodkan akibat tiga varian berkenaan.

Berikutan faktor pergerakan dan mutasi virus, maka menurut Dante, kes COVID-19 di Indonesia diramal akan terus meningkat hingga ke suatu tempoh. Pematuhan protokol kesihatan juga diingatkan semula kepada rakyat republik itu.

"Kita juga harus tetap menjaga keseimbangan antara kepentingan kesihatan dan ekonomi, agar kedua-duanya dapat berjalan dengan baik,” pesannya.