KETIKA puncak penularan pandemik COVID-19 sekitar pertengahan Mac sehinggalah Jun lalu, kaum lelaki resah kerana tidak dapat memotong rambut kerana pihak berkuasa tidak mengizinkan operasi kedai gunting rambut.

Kerana itu, sebilangan besar kaum Adam itu berasa rimas kerana terpaksa berambut panjang.

Namun, keresahan orang lelaki yang terapaksa menyimpan rambut sehingga paras bahu selama lebih tiga bulan itu barangkali tidak mampu menandingi kehebatan seorang warga emas di Vietnam, Nguyen Van Chien.

Percaya atau tidak, Chien yang berusia 92 tahun dan berasal dari selatan wilayah Delta Mekong mempunyai rambut sepanjang lima meter selepas hampir 80 tahun tidak memotongnya.

Memetik laporan Reuters, dia sangat berpegang teguh pada kepercayaan bahawa seseorang itu jangan sesekali menyentuh atau mengubah apa-apa sahaja kurniaan Tuhan pada tubuh mereka sejak dilahirkan

Kepada Chien, seandainya dia 'mengingkari' kepercayaan itu, nasib malang akan menimpa dirinya.

Lantaran itu juga, Chien nekad untuk tidak memotong rambutnya lebih lapan dekad.

“Saya percaya jika saya memotong rambut saya, saya akan mati," itu reaksi Chien ketika ditanya alasan tidak memotong rambut.

Bukan sekadar tidak memotong, bahkan dia juga tidak menyikat rambutnya itu.

“Saya hanya memeliharanya, menutupnya dengan selendang agar kekal kering, bersih dan kelihatan cantik,” ujarnya bercerita.

CHIEN: Saya percaya jika saya memotong rambut saya, saya akan mati. - REUTERS

Dakwa Chien, dia menerima 'panggilan' agar memelihara menyimpan rambut daripada tujuh 'dewa' yang dikatakan memiliki 'sembilan kuasa'.

Masih terbayang di ruang fikirannya ketika dia diminta memotong rambut semasa di bangku sekolah, namun, Chien tetap dengan pendiriannya tidak akan membenarkan kepalanya disentuh, jauh sekali untuk berambut pendek.

Bukan sekadar tidak memotong, Chien juga langsung tidak menyikat atau mencuci rambut.

“Saya masih ingat rambut saya berwarna hitam, lebat dan kuat. Saya menyikatnya untuk menjadikannya kemas.

“Tetapi pabila saya menerima wahyu daripada 'kuasa dewa', saya tahu saya telah terpilih.

“Saya menyentuh rambut saya dan semalaman, ia menjadi keras serta melekat pada kepala saya dan seolah-olah mempunyai 'nyawa',” ujarnya.

Chien, bagaimanapun, dibantu oleh anak lelakinya Luom menguruskan rambutnya.

Luom, 62, juga mempunyai kepercayaan bahawa terdapat hubungan antara rambut dan kematian apabila melihat seorang lelaki yang meninggal dunia susulan mencuba untuk menyambung semula rambutnya dengan tali.

"Perkara-perkara ini kelihatan senang tetapi sebenarnya, ia sesuatu yang amat suci," kata Luom pula.

Chien difahamkan menganuti kepercayaan yang dikenali sebagai 'Dua'.

Kepercayaan 'Dua' atau 'agama kelapa' yang sudah hampir lenyap itu dinamakan sempena pengasasnya.

Berdasarkan kepercayaan Chien, bagi pengikut 'Dua' yang mahu kekal cergas, mereka harus hidup dengan memakan kelapa.

Berdasarkan laporan Reuters, ‘Dua’ merupakan agama yang dilarang sama sekali di Vietnam dan dikategorikan sebagai kepercayaan palsu.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !