ANKARA: Kerangka keselamatan baharu wajar memberi jaminan terhadap kebimbangan keselamatan Rusia jika Moscow kembali ke meja rundingan untuk menamatkan krisis di Ukraine, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Barat harus mempertimbangkan kaedah menangani kebimbangan Rusia, jika Presiden Vladimir Putin bersetuju menamatkan operasi ketenteraan melalui kaedah diplomasi, kata Macron dalam temu bual dengan saluran TV TF1 dan LCI Perancis ketika sesi terakhir lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa penentuan persekitaran politik adalah terpulang kepada rakyat Ukraine, lapor Agensi Anadolu.

Pada Khamis, Macron berkata Perancis "tidak akan sekali-kali menggesa rakyat Ukraine untuk berkompromi dengan syarat-syarat yang tidak akan diterima oleh mereka, kerana mereka begitu berani mempertahankan nyawa, negara dan prinsip."

"Kami perlu menghormati keputusan rakyat Ukraine dalam menentukan masa yang sesuai dan syarat rundingan mengenai wilayah dan masa depan mereka," katanya.

Perancis dan AS berkongsi visi yang sama untuk terus membantu Ukraine serta "melakukan segala-galanya agar Rusia kembali ke meja rundingan," kata Macron.

-- BERNAMA