NEW YORK: Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun susulan tuduhan membantu menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini selepas Mahkamah Persekutuan Brooklyn pada April lalu mensabitkan Ng dengan tuduhan tersebut.

Berbilion dolar wang yang dicuri dari dana tersebut digunakan untuk merasuah dan membiayai parti mewah, kapal layar, hartanah serta pembikinan filem Wolf of Wall Street.

Ng kekal, mempertahankan dia bukan satu-satunya yang bersalah.

Sebaliknya, ia merupakan konspirasi dengan dua lagi individu untuk mengubah wang haram dan merasuah.

Pendakwa raya Amerika Syarikat sebelum ini meminta hakim agar menjatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun ke atas Ng.

Ng, bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman di Malaysia didapati membantu bekas bosnya, Tim Leissner yang pernah menjadi ketua Goldman di Asia Tenggara menggelapkan wang 1MDB.

Mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dan merasuah pegawai kerajaan untuk memenangi perniagaan.

Tuduhan ke atas Ng bertitik tolak pada AS$6.5 bilion (RM29.09 bilion) bon yang diterbitkan oleh Goldman bagi membantu 1MDB.

1MDB diasaskan untuk membiayai projek pembangunan di Malaysia yang dijual pada 2012 dan 2013.

Namun begitu, pendakwa raya berkata, sebanyak AS$4.5 bilion (RM20.14 bilion) daripada jumlah itu telah digelapkan oleh pegawai, bank dan sekutu mereka dalam salah satu skandal terbesar dalam sejarah Wall Street.