GENEVA: Kes cacar monyet dilapor meningkat tiga kali ganda di Eropah dalam tempoh dua minggu lalu.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Kluge menegaskan usaha perlu ditingkatkan bagi mencegah penyakit tersebut walaupun agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu memutuskan wabak yang semakin memuncak itu belum diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global.

“Tindakan segera dan terkoordinasi adalah mustahak jika kita ingin meredakan peningkatan (kes), sekali gus menangani penularan penyakit ini," kata Dr Kluge seperti dilapor media antarabangsa.

Dr Kluge menambah jumlah jangkitan di Eropah mewakili kira-kira 90 peratus daripada jumlah global, di mana kes melibatkan 31 negara di rantau Eropah telah dikenal pasti.

Sementara itu, di Afrika, pihak berkuasa kesihatan menyifatkan wabak yang semakin berleluasa itu sebagai kecemasan.

Justeru, mereka menyeru negara kaya untuk berkongsi bekalan vaksin yang terhad bagi mengelakkan masalah ekuiti yang dilihat semasa pandemik COVID-19.

Vaksin utama yang digunakan terhadap cacar monyet pada asalnya dibangunkan untuk penyakit cacar.

Agensi Ubat Eropah sebelum ini memaklumkan pihaknya mula menilai sama ada ia perlu dibenarkan untuk kegunaan cacar monyet.

WHO berkata bekalan vaksin, yang dihasilkan oleh Bavarian Nordic, adalah sangat terhad.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 1,800 kes cacar monyet disyaki di Afrika, termasuk lebih 70 kematian direkodkan.

Bagaimanapun, hanya 109 kes yang disahkan oleh pihak makmal.

Manakala, lebih 5,000 kes cacar monyet dilaporkan melibatkan 51 negara di seluruh dunia.