Kes COVID-19 melonjak: Pelajar Singapura manfaat 'Student Learning Space', belajar di rumah sepenuhnya

Astro Awani
Mei 19, 2021 05:11 MYT
Pengajaran dan pembelajaran kini berlangsung secara maya sepenuhnya di portal Ruang Pembelajaran Pelajar atau Student Learning Space. - Foto MOE, Singapore
KUALA LUMPUR: Singapura mengaktifkan kembali pembelajaran di rumah (HBL) pada Rabu sehingga 28 Mei depan susulan lonjakan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat di negara itu.
Arahan yang dikeluarkan pada Ahad lalu melibatkan semua pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, maktab rendah dan Institut Millenia.
Pengajaran dan pembelajaran kini berlangsung secara maya sepenuhnya di portal Ruang Pembelajaran Pelajar atau ‘Student Learning Space’.
Kementerian Pendidikan Singapura (MOE) akui berlaku sedikit masalah seperti kegagalan akses kepada sistem tersebut pada Rabu pagi susulan jumlah trafik yang tinggi.
Bagaimanapun, pihak MOE segera mengaktifkan sumber sistem tambahan dan pada 9.30 pagi, para guru melaporkan bahawa sistem itu telah kembali berjalan lancar.
MOE berkata pasukannya sedang aktif memantau prestasi sistem dan menangani isu tersebut, supaya mengurangkan gangguan bagi guru dan pelajar.
Menterinya, Chan Chun Sing berkata ruang masa dua hingga tiga hari diperlukan ibu bapa untuk menyusul semula perancangan mereka sebelum arahan itu mula berkuat kuasa hari ini.
Jelasnya, arahan itu adalah bagi mengurangkan aktiviti atau pergerakan rakyat republik itu.
Malah, beliau berkata, semua sekolah telah diberi latihan secara berperingkat sebelum ini untuk melaksanakan HBL secara segera pada bila-bila masa ia diperlukan.
#pengajaran dan pembelajaran #Singapura #Kementerian Pendidikan #pendidikan #COVID-19 #sekolah #guru #pelajar #Home Based Learning Singapore #Kementerian Pendidikan Singapura #Student Learning Space #Ruang Pembelajaran Pelajar