TOKYO: Perintah darurat COVID-19 di Jepun ditarik balik sepenuhnya pada Jumaat buat pertama kali sejak April, lapor agensi berita Kyodo.

Sehubungan itu darurat yang dikenakan di bandar raya Tokyo dan 18 wilayah lain turut ditarik balik berikutan penurunan berterusan kes baharu di seluruh negara.

Perniagaan seperti restoran dan taman tema sudah siap sedia berdepan peningkatan jumlah pengunjung, sekali gus mengembalikan semula aktiviti sosial dan merancakkan ekonomi di samping mencegah gelombang jangkitan baharu.

Sektor pelancongan dijangka mengalami peningkatan tempahan untuk lawatan domestik dan penginapan.

Nippon Airways Co menerima kira-kira 50,000 tempahan, 10 kali lebih banyak berbanding sebulan lalu.

Taman tema Tokyo Disneyland dan Universal Studios Jepun akan meningkatkan jumlah maksimum pengunjung hariannya kepada 10,000 berbanding 5,000 sebelum ini.

Kes COVID-19 di seluruh Jepun menyaksikan trend penurunan sejak 25,867 kes dilaporkan pada 20 Ogos lalu dan pada Khamis sebanyak 1,576 kes dilaporkan.

Tokyo dikenakan perintah darurat pada 12 Julai, kira-kira 11 hari sebelum pembukaan Olimpik, diikuti Okinawa. Pada Ogos pula darurat dikuatkuasakan di wilayah Osaka dan Fukuoka.

-- BERNAMA