68,753 kes denggi dilaporkan di seluruh Indonesia sehingga kini bagi tahun 2020 dengan lebih 400 bandar dan daerah merekodkan kes jangkitan berganda yang mana pesakit dijangkiti COVID-19 dan demam denggi.

Memetik laporan Jakarta Globe, menurut Pengarah Kementerian Kesihatan untuk penyakit bawaan vektor dan zoonotik, Siti Nadia Tarmizi, 446 kematian akibat demam denggi turut direkodkan.

Jelasnya, kebiasaanya jangkitan denggi memuncak di Indonesia pada bulan Mac, tetapi bulan ini turut menunjukkan peningkatan sehingga 100 hingga 500 kes setiap hari.

Antara wilayah yang merekodkan kes denggi tertinggi adalah Lombok di Nusa Tenggara Barat dan Buleleng, Denpasar serta Badung di Bali.

Ia sekali gus menyaksikan negara itu kini sedang bergelut dengan denggi ketika COVID-19 masih berterusan di negara itu.

Ia lebih menyukarkan ketika ini, kerana masih belum ada vaksin yang dapat menyembuhkan COVID-19 dan demam denggi, jelas Nadia.

Setakat ini, kes positif COVID-19 di Indonesia kini melepasi angka 47,000 iaitu tambahan 1,051 kes baharu bagi tempoh 24 jam.

BACA: COVID-19 di Indonesia: 47,896 kes positif, 2,535 kematian