Kes Jamal Khashoggi: Lima pekerja konsulat warga Turki disiasat

Astro Awani
Oktober 22, 2018 23:56 MYT
Erdogan berkata akan mendedahkan perincian kes Jamal Khashoggi dalam ucapannya di Parlimen pada Selasa. - Gambar fail
Pihak pendakwaan Turki pada Isnin mengambil keterangan lima lagi warga Turki yang berkhidmat di konsulat Arab Saudi berhubung kes pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.
Sebelum ini, 15 warga Turki lain yang bertugas di konsulat berkenaan turut diambil keterangan Jumaat lalu.
Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan bahawa wartawan terkenal itu telah meninggalkan premis konsulat itu pada hari beliau dilaporkan hilang 2 Oktober lalu.
Namun, Sabtu lalu, kerajaan Saudi mengaku Khashoggi mati dibunuh di premis konsulat berkenaan.
Kerajaan Riyadh bagaimanapun menafikan penglibatan Putera Mahkota Mohammed Salman dalam kes terbabit.
BACA: Pembunuhan Khashoggi sesuatu yang tidak boleh diterima
Dalam perkembangan berkaitan, kes Khashoggi akan turut dibawa untuk perbincangan dalam mesyuarat kabinet Turki.
Demikian tegas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Ahad, yang pada masa sama berkata akan mendedahkan perincian kes berkenaan dalam ucapannya di Parlimen pada Selasa.
"Seperti yang anda tahu, saya telah mengadakan perbincangan dengan Raja (Salman) malam sebelum ini.
"Malam semalam, (Presiden Amerika Syarikat Donald) Trump telah menghubungi saya.
"Kita telah berpeluang untuk menilai proses ini bersama mereka. Sekarang, kita boleh membincangkan kes ini dalam mesyuarat Kabinet kita," katanya.
#Arab Saudi #Donald Trump #Istanbul #Jamal Khashoggi #kabinet #konsulat #Parlimen #Pembunuhan #Recep Tayyip Erdogan #siasatan #Turki #wartawan