Kes kematian kanak-kanak akibat ubat batuk tercemar terkawal - Presiden Gambia

Astro Awani
Oktober 9, 2022 00:15 MYT
Barrow (foto) berkata, pihak berkuasa melancarkan siasatan bulan lepas selepas doktor menyedari beberapa kanak-kanak mengalami simptom selepas mengambil empat sirap ubat batuk dan selesema yang digunakan untuk merawat demam. -Reuters
BANJUL: Presiden Gambia memberi jaminan peningkatan kes kerosakan buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak yang dikaitkan dengan empat sirap ubat batuk dan selesema adalah terkawal.
Adama Barrow berkata, pihak berkuasa melancarkan siasatan bulan lepas selepas doktor menyedari beberapa kanak-kanak mengalami simptom selepas mengambil empat sirap ubat batuk dan selesema yang digunakan untuk merawat demam.
Kerosakan buah pinggang menyebabkan 66 kematian kanak-kanak dalam tempoh tiga bulan lalu.
Sementara itu, kerajaan telah mengarahkan pengimport dan kedai untuk menangguhkan penjualan semua jenama sirap ubat batuk dan selesema di negara kecil Afrika Barat itu.
Ubat itu juga telah ditarik balik dari semua farmasi dan isi rumah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang turut menyiasat kematian itu berkata, ia boleh dikaitkan dengan sirap batuk dan selesema tercemar yang dihasilkan oleh pembuat ubat India, Maiden Pharmaceuticals yang berpangkalan di New Delhi.
Pengumuman itu menyusuli analisis makmal yang mengesahkan jumlah dietilena glikol dan etilena glikol "tidak boleh diterima" yang boleh menjadi toksik dan membawa kepada kerosakan buah pinggang.
Barrow berkata Kementerian Kesihatan Gambia bekerjasama dengan WHO dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).
Beberapa sampel ujian yang dihantar ke Senegal, Ghana, Perancis, dan Switzerland menunjukkan tanda-tanda pencemaran.
Kementerian Kesihatan juga sedang mengkaji pemeriksaan kualiti terhadap import ubat dan peraturan lain yang berkaitan.
#Adama Barrow #ubat batuk keluaran India #kes kerosakan buah pinggang dalam kalangan kanak-kanak #dietilena glikol