Kerajaan perlu peruntukan lebih banyak dana dan sumber daya bagi memelihara kesejahteraan mental kanak-kanak dan remaja.

Itu antara dapatan laporan "State of the World's Children" yang dijalankan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) yang antara lain turut menegaskan pandemik COVID-19 antara faktor utama perkara tersebut berlaku.

Kajian kesihatan mental kanak-kanak dan remaja yang dijalankan itu adalah dapatan yang paling komprehensif di peringkat global.

UNICEF turut menekankan kajian lanjut mungkin memakan masa yang lebih panjang untuk mengkaji impak pandemik terhadap golongan itu.

Pakar psikologi mendapati tekanan bermula sejak sekolah mula ditutup dan kanak-kanak terpaksa meneruskan pembelajaran di rumah.

Malah kanak-kanak dan orang dewasa juga mengalami perasaan ingin membunuh diri, kegelisahan, isu makanan dan beberapa kesukaran lain yang dialami sejak sekatan bermula antara faktor kesihatan mental terjejas.

Bukan itu sahaja, peralihan drastik kehidupan kepada tidak bertemu rakan-rakan dan COVID-19 yang menyebabkan kematian dalam kalangan orang tersayang juga menyebabkan kanak-kanak kemurungan.

Krisis yang timbul ini menyukarkan lagi pasukan perubatan terutamanya pakar psikologi pediatrik yang sebelum ini berdepan dengan kekurangan sumber.

UNICEF turut menegaskan pelaburan dalam mempromosikan kepentingan menjaga kesihatan mental adalah pada tahap yang sangat rendah.

Menurut Pengarang Utama, Laporan UNICEF State of the World Children, Zeinab Hijazi, kos sejumlah 387.2 bilion dolar amerika diperlukan bagi menangani isu ini.

"Kita lihat kepada keadaan kesihatan mental kanak-kanak berusia 0-19 tahun. Kami mendapati kos sejumlah AS$387.2 bilion diperlukan. Dan perkara ini membimbangkan.

Dan pada dasarnya apa yang dikatakan ini mengesahkan bahawa selain kos kepada kesihatan mental kepada individu, keluarga dan komuniti, ia juga memberi tekanan kepada kita dan keluarga," jelasnya. 

Dalam pada itu, UNICEF turut menjelaskan bebeapa kerisauan lain turut timbul sehingga menyebabkan kesihatan mental merosot termasuk kebimbangan jatuh sakit, perintah sekatan, sekolah ditutup dan tidak dapat kembali kepada kehidupan normal pra-COVID.

Walaupun kanak-kanak dan remaja dalam kalangan tidak berisiko meninggal dunia akibat COVID-19 berbanding warga emas dan mereka yang mengalami komorbiditi, UNICEF beri amaran bahawa pandemik boleh menyebakan kesihatan mental terjejas untuk jangka masa panjang.



*Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan dan segala panggilan adalah percuma.