KABUL: Para peniaga kecil di ibu kota Afghanistan, Kabul kembali berniaga pada Selasa, sehari selepas Taliban menguasai bandar itu.

Rangkaian stesen berita  CCTV melaporkan, majoriti kedai yang terletak di pasar telah memulakan operasi masing-masing.

Beberapa pemilik sebelum ini melahirkan kebimbangan akan berlakunya pertumpahan darah besar-besaran susulan pengambilalihan pentadbiran oleh kumpulan Taliban.

Bagaimanapun, perasaan gusar itu hilang apabila keadaan dilaporkan stabil.

"Pada masa ini, kami tidak menghadapi masalah keselamatan dan membuka perniagaan semula secara beransur-ansur dan situasinya semakin stabil.

"Saya harap Taliban dapat melakukan yang terbaik untuk  meyakinkan rakyat," ujar Hameed, salah seorang penduduk tempatan.

Tinjauan juga mendapati, Kabul tetap tenang ketika Taliban melakukan rondaan di sekitar bandar itu.

"Saya berharap kepemimpinan masa depan dapat meletakkan senjata dan mencapai keamanan dan kestabilan sehingga rakyat Afghanistan dapat hidup dengan aman damai," kata Nasir Ahmad, seorang penduduk di Kabul.

Dalam pada itu penduduk di Kabul perlu melalui beberapa sekatan jalan raya termasuk di zon hijau .

Menurut komandan yang mengawasi sekatan jalan raya berkenaan, tindakan itu bagi  mencegah insiden rompakan dan melindungi kedutaan serta harta benda.

Setakat ini, Taliban menjanjikan era perdamaian dan keamanan baharu, dengan memaklumkan akan memaafkan pihak yang memerangi mereka dan memberikan hak penuh kepada wanita berdasarkan undang-undang Islam.

Bagaimanapun, masih ramai penduduk  Afghanistan ragu-ragu dengan janji itu.

Taliban kembali berkuasa pada hujung minggu lalu selepas berjaya menakluki  sebahagian besar negara dalam tempoh beberapa hari, kurang dari tiga minggu sebelum Amerika Syarikat (AS) merancang untuk  mengundurkan tentera sepenuhnya.