NEW YORK: Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timur Tengah pada Isnin mendedahkan bahawa lebih 150 rakyat Palestin dan lebih 20 warga Israel telah terbunuh dalam konflik Israel-Palestin pada tahun ini, menandakan angka kematian tertinggi dalam tempoh setahun.

''Saya amat bimbang dengan peningkatan keganasan antara kedua-dua pihak, memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan penyelesaian aman terhadap konflik itu,'' Tor Wennesland memberitahu Majlis Keselamatan PBB.

Wennesland menggesa agar keganasan dihentikan dan semua pelaku bertanggungjawab, lapor Agensi Anadolu.

Beliau juga menyatakan kebimbangan terhadap perluasan penempatan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, yang merupakan pelanggaran nyata terhadap resolusi PBB dan undang-undang antarabangsa, menurut badan dunia itu.

Kira-kira 4,800 unit rumah dibina di Kawasan C Tebing Barat pada tahun ini, dan bilangan unit rumah meningkat lebih tiga kali ganda daripada tahun sebelumnya - daripada 900 unit pada 2021 kepada 3,100 unit pada 2022, katanya.

Beliau menggesa Israel menghentikan aktiviti perluasan penempatan serta merobohkan hartanah milik Palestin.

Beliau juga menyeru pemain serantau dan masyarakat antarabangsa mengambil langkah kukuh bagi mengubah trajektori negatif berkenaan dan mencari penyelesaian ke arah penyelesaian dua negara.

-- BERNAMA